SHAH ALAM, 14 JAN: Proses pemulihan dan pemutihan sekolah tahfiz serta sekolah agama swasta di Selangor sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pematuhan peraturan tanpa menjejaskan kelangsungan institusi pendidikan tersebut.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato' Salehuddin Saidin berkata, pendekatan itu merangkumi semua kategori sekolah agama termasuk sekolah tahfiz, sekolah agama swasta dan institusi di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri.
Jelas beliau, aspek utama yang dinilai dalam proses tersebut melibatkan status pendaftaran, keselamatan, kesihatan dan zon operasi sekolah bagi memastikan institusi berjalan secara sah dan teratur.
“Apabila kita bercakap tentang pemutihan sekolah, ia sering melibatkan sekolah agama swasta kerana terdapat isu berkaitan pendaftaran, keselamatan, kesihatan dan juga 'zoning' yang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau menambah, meskipun terdapat sekolah yang telah berdaftar, ada masih belum memenuhi semua syarat ditetapkan. Oleh itu, MAIS mengambil pendekatan berperingkat bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan tanpa menutup operasi serta-merta.
“Jadi disebabkan itu, kita buat secara berperingkat. Kita tidak mahu menutup semua sekolah swasta sama ada tahfiz atau sekolah agama apabila mereka tidak mematuhi syarat,” katanya.
Sebaliknya, menurut Salehuddin, MAIS memberi peluang kepada pengurusan sekolah untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan MAIS sebelum tindakan tegas diambil.
Katanya, dalam beberapa kes, kelulusan bersyarat turut diberikan dalam tempoh tertentu supaya pihak sekolah dapat melengkapkan keperluan yang ditetapkan, selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Beliau turut menegaskan bahawa selain mematuhi undang-undang, proses pemutihan penting bagi membanteras penyalahgunaan institusi agama untuk kutipan derma tidak sah dan mengelakkan penularan ajaran sesat.
Setakat 24 Disember lalu, proses pemutihan terhadap 606 sekolah tahfiz hampir selesai dengan pencapaian 96 peratus. Fokus seterusnya akan diberikan kepada sekolah rendah agama swasta di seluruh Selangor.





