Polis cari pemandu langgar lari sebabkan penunggang motosikal maut

14 Jan 2026, 12:43 AM
Polis cari pemandu langgar lari sebabkan penunggang motosikal maut

SHAH ALAM, 14 JAN: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan langgar lari sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Sungai Masin, Batang Kali, Hulu Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata kejadian berlaku jam 8.30 pagi membabitkan mangsa lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sebagai jurujual perumahan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Batang Kali sebelum dipercayai dilanggar dari arah bertentangan oleh kenderaan yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Ibrahim berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan polis giat mengesan kenderaan terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.