MB: Panel NADI perlu sampaikan maklumat tepat

13 Jan 2026, 4:59 AM
MB: Panel NADI perlu sampaikan maklumat tepat

SHAH ALAM, 13 JAN: Panel penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang baharu dilantik mesti menyampaikan maklumat tepat dan jelas kepada masyarakat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjelasan perlu dibuat secara berterusan, termasuk diulang jika perlu, bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sabaran Maklumat Nasional (NADI) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 13 Januari 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Contohnya, penyusunan semula subsidi dilakukan kerajaan bertujuan supaya bantuan sampai ke golongan sasaran. Namun, kadangkala maklumat sebenar tidak sampai dan wujud salah faham.

“Ini peranan panel penasihat, perlu ada kematangan dengan mendengar terlebih dahulu seterusnya beri penjelasan supaya maklumat sampai kepada masyarakat.

“Namun, perlu terima hakikat dalam beri penjelasan ia mungkin perlu dilakukan berulang kali. Sebab itu kena faham konteks supaya penerangan diberikan tidak mengundang salah faham,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan watikah pelantikan pengerusi panel penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak di ini, hari ini.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari bersama Menteri Komunikasi, Dato' Fahmi Fadzil menyampaikan watikah ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sabaran Maklumat Nasional (NADI) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 13 Januari 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Amirudin menyampaikan watikah lantikan kepada 33 panel dengan disaksikan Menteri Komunikasi Dato’ Fahmi Fadzil. Turut hadir, EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Muhammad Fahmi Ngah.

Sementara itu, Fahmi berkata panel penasihat perlu menjadi pihak terawal menerima maklumat berkaitan sesuatu isu supaya dapat memberikan penjelasan yang jelas dan terperinci kepada masyarakat.

“Mereka juga perlu bekerjasama dan bergerak seiring dengan Jabatan Penerangan negeri dalam segala isu kerana pusat ini bukan sahaja berkaitan internet tetapi turut menjalankan aktiviti seperti menjahit dan memasak.

“Tugas menyampaikan maklumat tepat tidak terhad kepada sesebuah kementerian sahaja, usaha ini perlu digerakkan bersama supaya dapat menyangkal fitnah, berita palsu hingga ke peringkat akar umbi,” ujarnya.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari bersama Menteri Komunikasi, Dato' Fahmi Fadzil menyampaikan watikah ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sabaran Maklumat Nasional (NADI) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 13 Januari 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi memaklumkan sekatan sementara terhadap akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok masih lagi berkuatkuasa sehingga mereka mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Grok melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia. Setakat ini, maklum balas diteruma tidak memadai dan sebab itu sekatan sementara terus berkuatkuasa. Kita akan pertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Satu pertemuan bersama jawatankuasa keselamatan dalam talian yang baharu dibentuk juga akan diadakan bagi meneliti beberapa perkara supaya penggunaan internet lebih selamat,” katanya.