ad

NADI SKMM raih Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program Madani Rakyat

20 Okt 2025, 3:26 AM
NADI SKMM raih Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program Madani Rakyat
NADI SKMM raih Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program Madani Rakyat

JASIN, 20 OKT: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sekali lagi mencatat kejayaan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Terbaik pada Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau di sini semalam.

Pada program yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, antara tarikan utama di reruai NADI ialah pameran dron, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti robotik serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui modul Tiny Techies selain pemeriksaan kesihatan jantung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memperkenalkan inovasi terkini dalam bentuk mudah difahami oleh komuniti setempat.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan merupakan kesinambungan usaha NADI dalam mendekati pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menerusi PMR yang bermula di Tawau, Sabah dan diteruskan ke lapan lokasi lain dengan pelbagai pendekatan serta aktiviti menarik.

"Golongan belia turut menunjukkan penyertaan aktif melalui Kempen Internet Selamat (KIS) dan pertandingan e-Sukan NADI Madani seperti Mobile Legends dan e-Football.

"Dalam masa sama, Perkhidmatan Pintar NADI turut menarik perhatian dengan lima fokus utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan bagi membantu masyarakat mempertingkatkan kemahiran digital serta ekonomi," katanya.

Sepanjang siri PMR tahun ini lebih 10,000 ahli baharu telah mendaftar dengan NADI dan lebih 15,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti interaktif serta pameran di reruai berkenaan di seluruh negara.

Kejayaan itu membuktikan sambutan hangat rakyat terhadap usaha berterusan SKMM melalui NADI dalam memperkasakan komuniti dengan kemahiran digital, akses teknologi dan maklumat, seiring dengan matlamat merapatkan jurang digital serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri Mohd Zainuddin Mohd Noor kepada Ketua Pejabat NADI SKMM Mohd Arif Adenan.

Lebih membanggakan, inisiatif NADI turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori Capacity Building pada World Summit on The Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva, Julai lepas.

Pengiktirafan itu menonjolkan NADI sebagai contoh terbaik pelaksanaan pusat maklumat komuniti di Pulau Banggi, Sabah yang berjaya memperkasa penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital.

Ketika ini terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan keahlian melebihi 1.8 juta orang, selaras dengan aspirasi 1 DUN 1 NADI yang bertujuan memperluas capaian maklumat dan memperkasa komuniti digital di setiap kawasan seluruh Malaysia.

-- BERNAMA