KAJANG, 12 JAN: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan sumbangan segera berjumlah RM50,000 kepada Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Bandar Baru Bangi bagi membantu kerja-kerja pembaikan semula kantin yang terjejas akibat kebakaran.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban pihak sekolah sementara siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Bantuan ini diberikan secepat mungkin bagi membantu pihak sekolah membangunkan semula kantin yang terjejas sementara menunggu laporan penuh siasatan forensik bomba berkaitan punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Azri menambah, lima khemah sementara telah disediakan melalui Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sementara pihak sekolah mengatur lokasi alternatif tersebut.
Sementara itu, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 bagi membantu pembangunan semula kantin sekolah agama berkenaan yang menempatkan lebih 1,000 murid.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Hamzah Tohar berkata bantuan itu sebagai langkah awal dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan pelajar dan warga sekolah sementara menunggu siasatan penuh serta perancangan pembangunan susulan.

“Bantuan susulan untuk kerja-kerja pembangunan juga akan dipertimbangkan oleh pihak PWS selepas siasatan kebakaran selesai sepenuhnya. Buat masa ini, kawasan terlibat ditutup sementara demi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah sentiasa terjamin,” ujarnya.
Kantin di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Bandar Baru Bangi, Persiaran Kemajuan Seksyen 16 terbakar dalam kejadian pada 10 Januari lalu.
Menurut Komander Operasi, PBK I Shaiful Bahrin Samad, kira-kira 80 peratus struktur kelas A yang menempatkan kantin sekolah terbakar dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.




