KUALA LANGAT, 12 JAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya di Telok Panglima Garang kembali beroperasi sepenuhnya hari ini selepas kerja baik pulih akibat ribut siap lebih awal.
Sekolah tersebut ditutup hampir tiga bulan sejak 15 Oktober 2025 selepas mengalami kerosakan serius pada struktur bumbung, siling dan kemudahan asas akibat ribut kuat yang melanda kawasan Sijangkang.
Pembukaan semula sekolah itu membolehkan sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan diteruskan dalam suasana selamat serta selesa untuk murid dan guru.
Tinjauan Media Selangor hari ini mendapati ibu bapa dan komuniti setempat menyambut baik pembukaan semula sekolah itu dan berharap sesi persekolahan kembali berjalan lancar.
Pada 9 Januari lalu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak memaklumkan SK Sijangkang Jaya antara tiga sekolah yang hampir siap sepenuhnya dalam kerja pembaikan bersama SMK Sijangkang Jaya dan SK Kampung Medan.
“Kerja pembaikan melibatkan penggantian struktur rosak, pengukuhan keselamatan bangunan serta penambahbaikan kemudahan asas untuk memastikan persekitaran pembelajaran lebih selamat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebuah lagi sekolah yang terjejas kini di fasa akhir pembaikan dan dijangka siap sepenuhnya Februari depan.
Ribut yang berlaku pada pertengahan Oktober tahun lalu menyebabkan beberapa sekolah di kawasan Kuala Langat mengalami kerosakan teruk sehingga menjejaskan keselamatan pelajar dan memaksa premis ditutup sementara.




