150 pelajar B40 Kinrara terima bantuan tunai persekolahan

11 Jan 2026, 4:36 AM
150 pelajar B40 Kinrara terima bantuan tunai persekolahan

SHAH ALAM, 11 JAN: Seramai 150 pelajar terdiri keluarga B40 di Kinrara menerima bantuan tunai RM100 seorang bagi membantu persiapan mereka menjelang pembukaan sesi persekolahan.

Sumbangan itu disalurkan menerusi program “Ceria Ke Sekolah” tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang memfokus kepada kebajikan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, bantuan tersebut diserahkan secara terus kepada keluarga pelajar terlibat bagi memastikan keperluan persekolahan asas dapat dipenuhi.

“Jadi bolehlah beli barangan sekolah seperti uniform, kasut, beg sekolah dan sebagainya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan pihak korporat yang menyokong usaha kebajikan dan pendidikan di peringkat komuniti.

“Sumbangan ini mungkin kecil pada nilai, namun besar maknanya buat keluarga yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, bantuan itu diharap dapat meringankan beban kewangan ibu bapa serta menyuntik semangat anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan ceria.

Program “Ceria Ke Sekolah” merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang dilaksanakan di kawasan terpilih.