Ahli Majlis Sepang baharu fokus saringan kesihatan, banjir dan pelancongan Dengkil

11 Jan 2026, 1:00 AM
Ahli Majlis Sepang baharu fokus saringan kesihatan, banjir dan pelancongan Dengkil
Ahli Majlis Sepang baharu fokus saringan kesihatan, banjir dan pelancongan Dengkil

SEPANG, 11 JAN: Ahli Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) baharu bagi penggal 2026-2027 bertekad menambah baik program kemasyarakatan, termasuk mengadakan saringan kesihatan lebih kerap di kawasan pentadbirannya.

Ahli Majlis Zon Pinggiran Putra, Yusoh Alip, berkata beliau turut merancang program berimpak tinggi, termasuk latihan kemahiran komunikasi dan pengucapan awam untuk generasi muda.

Beliau yang merupakan Orang Asli pertama di Selangor dan kini memasuki penggal kedua menekankan setiap program dirangka mengambil kira keperluan serta pembangunan kawasan penempatan Orang Asli di bawah pentadbirannya.

“Saya akan lebihkan buat program kemasyarakatan seperti saringan kesihatan, gotong royong pembersihan untuk cegah denggi contohnya. Selain itu, peningkatan kemahiran seperti pengucapan awam,” katanya ditemui selepas Majlis Perakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Ahli Majlis MPSepang bagi penggal 2026 hingga 2027 di sini, semalam.

Beliau turut memberi perhatian kepada isu banjir, khususnya di Kampung Limau Manis yang kerap dilanda banjir kilat.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon Taman Mas, Mohd Nazri Sohot, yang juga Ketua Whip KEADILAN, berkata fokus tahun ini adalah menangani banjir di kawasan pentadbirannya serta memastikan aduan masyarakat diselesaikan dengan segera.

“Ini penggal ketiga saya di kawasan ini. Kurang ada masalah kerana bila ada masalah kita cuba tangani segera.

“Fokus kita berkaitan banjir pula adalah memastikan ban di kawasan berhampiran yang bersempadan dengan Sungai Klang dibuat segera kerana setiap kali hujan kita ada kebimbangan ban akan pecah,” katanya.

Ahli Majlis Zon Desa Putra, Tc. Hazimun Rahman Mohammad, berkata pekan Dengkil yang berusia lebih 100 tahun berpotensi dijadikan tarikan pelancong seperti Georgetown dan Ipoh.

Beliau merancang menumpukan usaha menjadikan kawasan itu pusat pelancongan, sekali gus menjana ekonomi setempat.

Terahulu, seramai 24 ahli MPSepang dilantik bagi penggal 2026-2027, berkhidmat dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.