Selangor Future Cup jelajah lima daerah lagi, cungkil bakat baharu e-sukan

10 Jan 2026, 8:00 AM
Selangor Future Cup jelajah lima daerah lagi, cungkil bakat baharu e-sukan
Selangor Future Cup jelajah lima daerah lagi, cungkil bakat baharu e-sukan

SHAH ALAM, 10 JAN: Kejohanan e-sukan Selangor Future Cup bakal menjelajah ke lima daerah lagi bagi mencari pelapis muda untuk mewakili SUKMA Selangor yang dijadualkan pada Ogos ini, menurut EXCO sukan.

Mohd Najwan Halimi berkata kejohanan berkenaan menjadi medan penting mencungkil bakat muda e-sukan di peringkat sekolah bagi membentuk pasukan Selangor Red Giants (SRG) pada masa akan datang.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berucap ketika hadir dalam program Selangor Future Cup di Central I-City, Shah Alam pada 10 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Setakat ini, jelajah telah dilaksanakan di Gombak, Sepang, Kuala Langat dan hari ini di Petaling. Masih berbaki lima daerah lagi, dan kami yakin menjelang pertengahan Februari jelajah ini akan tamat.

"Sambutannya sangat meriah dan peserta yang layak akan disenaraipendek untuk SRG serta SUKMA Selangor,” katanya selepas majlis perasmian Selangor Future Cup Daerah Petaling di pusat beli-belah Central i-City, di sini, hari ini.

Sementara itu, pemain e-catur dunia Kavin Mohan, 14, menyambut baik Kejohanan Selangor Future Cup yang disifatkan dapat menarik lebih ramai penggemar e-sukan diiktiraf dalam acara berkenaan.

Pemain e-catur Kavin Mohan, 14, ketika ditemui dalam program Selangor Future Cup 2025/2026 di Central I-City, Shah Alam pada 10 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Saya mula bermain e-catur sejak usia enam tahun hasil dorongan datuk. Lama-kelamaan minat itu berkembang dan saya berjaya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa, termasuk ke Sri Lanka dan India.

"E-sukan atau e-catur mengasah minda dan daya pemikiran, jadi saya harap lebih ramai ibu bapa menyokong minat anak mereka,” katanya.

Manakala, Iman Naqiuddin Jamaludin, 17, bersyukur keluarga turut menyokong minatnya dalam e-sukan dan menasihatkan juga agar tidak mengabaikan pelajaran.

Iman Naqiuddin Jamaludin, 17 ditemui dalam program Selangor Future Cup 2025/2026 di Central I-City, Shah Alam pada 10 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Saya ada jadual tersendiri untuk fokus e-sukan dan akademik. Tiada masalah jika kita disiplin mengurus masa,” katanya, sambil berharap terpilih mewakili SUKMA Selangor.

Tahun lalu, SMK Kota Kemuning menjuarai Selangor Future Cup 2025 dalam kategori Mobile Legends Bang Bang (MLBB) selepas menewaskan SMK Saujana Utama, Kuala Selangor.

Pasukan pemenang Selangor Future Cup 2025 dari SMK Kota Kemuning, Klang meraikan kejayaan mereka di Aeon Mall Shah Alam pada 23 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada Julai 2024, pasukan SRG mengharumkan nama negara dengan menamatkan kemarau tujuh tahun untuk menjuarai kejohanan antarabangsa Mid Season Cup MLBB di Riyadh, Arab Saudi, menewaskan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian bersejarah dan luar biasa bagi e-sukan Malaysia.

Selangor Red Giants meraikan kemenangan selepas muncul juara kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Facebook Esports World Cup