SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri memberi jaminan persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dilaksanakan secara rapi dan inklusif dengan penekanan khusus terhadap aspek keselamatan serta pengurusan risiko.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata bagi menyemarakkan semangat sukan dalam kalangan belia, larian obor SUKMA bakal menjelajah ke setiap pihak berkuasa tempatan dengan penglibatan pasukan Penggerak Belia Selangor (PeBS).

“Jelajah larian obor ini juga bertujuan menyatukan komuniti melalui penglibatan atlet lama dan baharu menjelang SUKMA Selangor 2026 nanti,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui dalam majlis apresiasi PeBS di sini, malam tadi.
Beliau turut memaklumkan, peruntukan kepada kontinjen Selangor ditingkatkan kepada RM10 juta yang akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membangunkan potensi atlet baharu, memperkukuh persediaan latihan serta meningkatkan prestasi keseluruhan pasukan negeri.
Dalam aspek keselamatan dan pengurusan risiko, Mohd Najwan berkata pentadbiran negeri mengambil kira semua faktor termasuk penetapan penganjuran SUKMA pada Ogos yang masih belum memasuki fasa Monsun Timur Laut.
“Pihak sekretariat SUKMA sentiasa berhubung dengan pengurusan bencana negeri bagi memastikan pelan kontingensi bersedia selain memilih venue yang bukan berada di kawasan berisiko banjir,” tambahnya.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Majlis perasmian dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala majlis penutup berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Edisi kali ini melibatkan 474 acara dalam 37 jenis sukan, termasuk tujuh sukan tambahan seperti e-sukan, kriket dan silambam.
Kesemua sembilan daerah membabtikan 12 pihak berkuasa tempatan akan menjadi tuan rumah acara, kecuali sukan berbasikal trek yang diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta bagi menaik taraf fasiliti serta persiapan SUKMA, bagi memastikan penganjuran acara berjalan lancar dan pengalaman pengunjung lebih selesa.




