Remaja umur 15 tahun dilapor hilang

9 Jan 2026, 10:46 AM
Remaja umur 15 tahun dilapor hilang

SHAH ALAM, 9 JAN: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu di Taman Puchong Permai, Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata kehilangan remaja berkenaan dimaklumkan kepada pihak polis melalui satu laporan polis kira-kira jam 9.31 malam tadi.

"Muhammad Hazriq Firdaus Muhammad Ali yang berusia 15 tahun kali terakhir berada di alamat No A-8-1-10, Jalan Permai 1/5, Taman Puchong Permai pada 5 Januari lalu.

"Sejak tarikh itu, mangsa gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, remaja berkenaan berketinggian kira-kira 1.57 meter dengan berat 45 kilogram, berkulit hitam manis serta berambut pendek hitam.

"Ciri fizikal lain termasuk hidung mancung, mata kecil dan bibir tebal,

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja ini diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Wan Azlan berkata, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222.

"Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor T B Vanitha di talian 017-222 9832," katanya.