Campak cucu tiri dari tingkat tiga, warga Nigeria dihukum gantung

9 Jan 2026, 9:52 AM
Campak cucu tiri dari tingkat tiga, warga Nigeria dihukum gantung

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga Nigeria, Ibekwe Emeka Augustine, 48, selepas didapati bersalah membunuh cucu tirinya enam tahun lalu.

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sepanjang prosiding kes.

Dalam kejadian 29 November 2020 di Apartment Danau Villa, Setapak, tertuduh dilapor mencampak kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

Selain itu, Augustine turut dihukum penjara lima tahun atas empat lagi kesalahan lain iaitu melakukan serangan seksual terhadap anak tiri perempuannya, cuba membunuh anak lelaki, mencederakan isteri serta cubaan membunuh diri.

“Semua perbuatan tidak berperikemanusiaan dan keji yang dilakukan tertuduh dalam sehari itu sepatutnya dapat dihentikan kerana isterinya sudah cuba berbuat demikian, namun tertuduh tetap meneruskan perbuatannya selepas mencederakan isteri sehingga parah,” kata Muniandy, lapor Harian Metro.

Katanya, tindakan tertuduh yang mengambil dadah hingga hilang kawalan dan cuba membunuh diri tidak boleh dimaafkan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Augustine dalam rayuannya mengakui insaf dan memohon agar dikenakan hukuman penjara kerana pernah menjaga mangsa dengan baik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir manakala tertuduh diwakili peguam Zulkifli Awang.

Kes dikendalikan sejak 15 Januari 2024 menyaksikan pihak pendakwaan memanggil 20 saksi manakala dua saksi tampil memberi keterangan pihak pembelaan.

Zulkifli ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman gantung yang dijatuhkan kepada anak guamnya.