SHAH ALAM, 9 JAN : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka ruang kerjasama pelbagai pihak dalam usaha menyediakan kemudahan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sekolah seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata hasil Audit Keselamatan Murid dan Asrama yang dilaksanakan oleh Jemaah Nazir pada tahun 2025 menunjukkan hanya 28.9 peratus daripada 850 sekolah mempunyai kemudahan CCTV.
"Ini adalah panggilan untuk kita bertindak kerana hanya 28.9 peratus sahaja CCTV di sekolah yang berfungsi.
"Pemasangan CCTV di sekolah boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah termasuk pembiayaan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kerjasama pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat komuniti," katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu KPM, hari ini.
Menurut beliau, sebarang bentuk kerjasama dicadangkan agar dipermudahkan di peringkat kementerian bagi pihak yang berhasrat untuk membantu menyediakan kemudahan CCTV di sekolah.
Tambahnya, sebagai langkah memperkukuh kawalan keselamatan fizikal di institusi pendidikan, lebih 300 sekolah akan dipasang sistem CCTV pada tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif segera (Quick Win) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035.
“Keselamatan sekolah adalah soal keyakinan masyarakat terhadap institusi KPM,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu KPM mengumumkan peruntukan tambahan RM5 juta bagi pemasangan CCTV di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara, sebagai langkah segera mempertingkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh kementerian dalam memperkukuh keselamatan serta menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan di bawah seliaan KPM.


