Haris Kasim pengerusi baharu SPN Selangor, fokus perkukuh integriti

6 Dis 2025, 3:14 AM
Haris Kasim pengerusi baharu SPN Selangor, fokus perkukuh integriti

SHAH ALAM, 6 DIS: Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haris Kasim mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (SPN Selangor) bagi sesi 2025–2027 dalam majlis penuh istiadat di sini, semalam.

Upacara itu disaksikan Hakim Utama Mahkamah Shah Alam, Dato' Sri Latifah Mohd Tahar, sekali gus mengesahkan pelantikan beliau untuk tempoh dua tahun.

Dalam ucapannya, Haris menzahirkan penghargaan atas kepercayaan Kerajaan Negeri serta komitmennya untuk memperkukuh integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam sistem perkhidmatan awam, termasuk aspek pelantikan, tatatertib dan pembangunan sumber manusia.

Beliau menegaskan usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan perlu dipergiat melalui pendigitalan, penyelarasan proses kerja dan tadbir urus berasaskan data, selaras tuntutan pentadbiran moden.

Majlis turut dihadiri mantan Pengerusi SPN, Dato’ Emran Kadir; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Salim Soib @ Hamid; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr Haniff Zainal Abidin; serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Mohd Yazid Sairi bersama Ahli-Ahli Lembaga SPN.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin turut hadir dan menyerahkan watikah pelantikan kepada Haris, sebelum majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Dokumen Nota Serah Tugas dan ucapan tahniah daripada Ahli Suruhanjaya.

Sementara itu, SPN Selangor merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Haris serta berharap kepimpinan baharu itu terus memperkukuh profesionalisme perkhidmatan awam negeri agar kekal kompeten, berintegriti dan berwibawa.