KLANG, 9 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat merasmikan Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku di Hotel Wyndham Acmar di sini, malam tadi.
Majlis anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) itu bertujuan menghormati institusi Raja-Raja Melayu dengan mengabadikannya dalam bentuk persembahan puisi.
Majlis diwarnai dengan pelbagai persembahan menarik seperti bacaan puisi, syair, puisi artistik, monolog, lagu puisi, tarian dan silat.
Antara yang mengambil bahagian dalam bacaan puisi ialah Pemuisi Sepanjang Hayat, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan dan Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan.
Pada majlis sama, Tengku Norashikin turut berkenan melancarkan buku berjudul Antologi Puisi Dirgahayu Tuanku terbitan Pemuisi himpun suara hati rakyat yang bernaung di bawah payung Raja-Raja Melayu.
Lebih 200 tetamu hadir ke acara tersebut yang terdiri daripada pemuisi, sasterawan, pegawai kanan kerajaan dan swasta, penuntut universiti, peminat puisi serta orang awam.



