SHAH ALAM, 9 JAN: Kerja baik pulih empat sekolah di Sijangkang yang terjejas akibat ribut menunjukkan perkembangan positif dengan tiga siap lebih awal manakala sebuah lagi hampir siap mengikut jadual.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak berkata tiga sekolah yang telah mencapai tahap hampir siap sepenuhnya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya dan SK Kampung Medan.
“SK Sijangkang Jaya yang kerosakan melibatkan beberapa blok termasuk kantin kini hampir siap dan JKR sedang berurusan dengan pihak sekolah bagi melaksana kerja pembersihan dahulu sebelum sesi persekolahan dibuka.
“Begitu juga SK Kampung Medan, kerja penggantian bumbung dan pendawaian elektrik telah selesai serta dalam proses pencucian. Bagi SMK Sijangkang Jaya, baik pulih mencapai 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya tiga hari lagi," katanya kepada Media Selangor.
Bagaimanapun beliau berkata, kerja baik pulih di SK Jalan Tanjung mencapai 85 peratus dan dijangka diserahkan sedikit lewat, namun masih dalam tempoh ditetapkan.
“Kerja pembaikan di SK Jalan Tanjung melibatkan penukaran bumbung, pendawaian elektrik serta makmal komputer yang mengalami kerosakan teruk dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata SK Jalan Tanjung hanya akan diserahkan pada awal Februari dan pihak sekolah dinasihatkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sementara waktu demi keselamatan murid.

Dalam pada itu, Shukri berkata JKR sentiasa memastikan semua kerja baik pulih termasuk pembaikan bumbung dan pendawaian dilaksanakan mengikut tempoh serta spesifikasi yang ditetapkan.
“Tempoh baik pulih keempat-empat sekolah ini telah ditetapkan pertengahan Februari oleh kontraktor, tetapi telah disiapkan lebih awal.
“Bukan itu sahaja, JKR juga melaksana pemantauan rapi supaya kualiti struktur yang dibina berfungsi seperti yang diharapkan,” ujarnya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mengadakan lawatan kerja ke SMK Sijangkang Jaya bagi meninjau sendiri kerosakan yang dialami sekolah terbabit akibat ribut.
Dalam sesi taklimat kepada beliau, Shukri memaklumkan SK Sijangkang Jaya dan SK Kampung Medan mengalami kerosakan kritikal, manakala kerosakan di SK Jalan Tanjung dan SMK Sijangkang Jaya dikategorikan sebagai sederhana kritikal.
Beliau turut menjelaskan anggaran kos pembaikan melibatkan SK Sijangkang Jaya sebanyak RM4.5 juta, SK Kampung Medan (RM3.9 juta), SMK Sijangkang Jaya (RM1.2 juta) dan SK Jalan Tanjung (RM550,000), menjadikan keseluruhan kos berjumlah RM10.15 juta.
Sesi persekolahan baharu bagi semua sekolah di negeri ini akan bermula pada 12 Januari.


