Terbuka Malaysia: Pearly-Thinaah terkandas di pusingan kedua

8 Jan 2026, 7:43 AM
Terbuka Malaysia: Pearly-Thinaah terkandas di pusingan kedua

SHAH ALAM, 8 JAN: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas tewas kepada pasangan Indonesia, hari ini.

Dalam aksi di Axiata Arena, Pearly-Thinaah tewas 24-26, 17-21 kepada Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam tempoh 54 minit.

Keputusan itu meleburkan rekod bersih Pearly-Thinaah ke atas lawan itu. Pasangan negara itu sebelum ini memenangi empat pertemuan termasuk pada temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, bulan lalu.

Pada set pertama, pasangan negara dilihat lambat panas apabila ketinggalan jauh 1-11 sebelum mula mendapat rentak untuk mengejar mata demi mata.

Sorakan penyokong tuan rumah kembali gamat dengan kebangkitan yang ditunjukkan dengan Pearly melakukan pukulan di depan jaring yang gagal dibaca lawan untuk mengikat kedudukan 19-19, disusuli tindakan pantas Thinaah melakukan ketukan backhand untuk mata ke-20.

Bagaimanapun, selepas terikat 24-24 dalam penentuan mata deuce yang panjang, pasangan Indonesia tampil lebih cergas untuk menoktahkan set pertama.

Pada set kedua, Pearly-Thinaah bermula dengan lebih yakin apabila mendahului 4-0 namun kealpaan menyaksikan pasangan Indonesia berjaya menyamakan kedudukan 6-6.

Biarpun gandingan negara sempat mendahului 14-12, namun lawan kembali mengikat kedudukan 14-14 sebelum menang 21-17.