SHAH ALAM, 7 JAN: Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka Malaysia walaupun berdepan cabaran kesihatan pada aksi pembukaan kejohanan itu di Axiata Arena, hari ini.
Beregu campuran profesional negara itu bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan pasangan Taiwan, Wu Guan Xun–Lee Chia Hsin 15-21, 21-19, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam, lapor Berita Harian.
Shevon terpaksa mengharungi perlawanan dalam keadaan kurang cergas selepas mengalami keracunan makanan sehari sebelum perlawanan, namun tetap meneruskan aksi bersama pasangannya.
Menurut Soon Huat, mereka bermula dengan agak perlahan dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan permainan lawan yang baharu digandingkan.
“Pada awal perlawanan kami sukar mendapatkan momentum, ditambah pula keadaan fizikal Shevon yang tidak baik. Lawan juga pasangan baharu, jadi kami lambat menyesuaikan diri.
“Dia mula mengalami muntah-muntah tengah malam semalam dan kami berdua tidak cukup tidur. Itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada permainan hari ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Soon Huat berkata, perubahan strategi dilakukan selepas set pertama dengan memberi tumpuan untuk menutup ruang di tengah gelanggang dan mengurangkan tekanan ke atas pasangannya.
Pada pusingan kedua esok, pasangan negara itu bakal berdepan cabaran beregu Amerika Syarikat, Presley Smith–Jennie Gai yang mara selepas menewaskan pasangan India, Dhruv Kapila–Tanisha Crasto.


