MB: Bekalan elektrik stabil jadi keutamaan pembangunan Beringin HTA Valley

8 Jan 2026, 6:02 AM
MB: Bekalan elektrik stabil jadi keutamaan pembangunan Beringin HTA Valley

SHAH ALAM, 8 JAN: Kerajaan Negeri menekankan kepentingan bekalan elektrik yang stabil bagi memastikan pembangunan dan operasi industri di Beringin High-Tech Auto Valley (Beringin HTA Valley) berjalan lancar dan berterusan.

Perkara itu dibincangkan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, bersama wakil Chery Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

Amirudin berkata perbincangan memberi tumpuan kepada keperluan infrastruktur tenaga sebagai asas penting pembangunan industri berteknologi tinggi, terutama bagi menyokong operasi kilang automotif berskala besar.

"Perbincangan ini memberi tumpuan kepada keperluan bekalan elektrik yang stabil daripada pihak TNB sebagai asas utama untuk memastikan pembangunan serta operasi kilang industri dapat berjalan lancar dan mampan.

"Usaha ini juga selari dengan peranan Invest Selangor dalam menarik lebih banyak pelaburan asing ke Selangor," katanya.

Beringin HTA Valley akan menempatkan Chery Smart Auto Industrial Park sebagai projek utama fasa pertama melibatkan kawasan seluas 200 ekar di Hulu Selangor.

Projek itu disasarkan menghasilkan sehingga 100,000 kenderaan setahun dengan nilai pelaburan RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun, selain menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Amirudin berharap pembangunan Beringin HTA Valley dapat merancakkan ekonomi Koridor Utara Selangor, khususnya di Hulu Selangor, serta mengukuhkan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama negara.

"Saya berharap pembangunan ini menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Koridor Utara Selangor, iaitu Hulu Selangor, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama," katanya.