SHAH ALAM, 8 JAN: Seramai 21 warga asing ditahan ketika leka memotong kain dan menyiapkan tempahan di sebuah premis menjahit pakaian di Taman Cempaka, Ampang semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 50 tahun, melibatkan 18 lelaki warga Pakistan dan Bangladesh serta tiga wanita warga India.
“Kita melakukan risikan tujuh hari dan ketika serbuan, mereka leka memotong kain serta menyiapkan tempahan tudung dan baju. Beberapa individu cuba melarikan diri dan bersembunyi di balik timbunan kain apabila menyedari kehadiran Imigresen,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati mereka sudah bekerja di premis berkenaan kira-kira tiga tahun dan tinggal di tempat yang disediakan majikan.
Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk reman dan siasatan lanjut.
Operasi serbuan yang bermula pada jam 11 pagi itu disertai 19 pegawai dan anggota Imigresen Selangor.



