SEPANG, 7 JAN: Larian obor Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dijangka bermula April ini, menjelajah kesemua sembilan daerah di Selangor, maklum EXCO sukan.
Mohd Najwan Halimi berkata obor SUKMA diserahkan secara simbolik oleh Sarawak selaku tuan rumah terdahulu dalam satu kunjungan hormat delegasi Sekretariat SUKMA Selangor ke negeri berkenaan hari ini.
“Jadi insya-Allah bermula April, kita akan menggerakkan larian obor di seluruh negeri sehingga berakhir pada Ogos. Kita akan merangka jadual untuk menggerakkan jelajah larian obor di peringkat Selangor.
“Dalam sesi pertemuan di Sarawak hari ini, majlis simbolik penyerahan obor daripada tuan rumah terdahulu Sarawak kepada Selangor selaku tuan rumah kali ini disempurnakan.
“Obor ini yang akan kita gunakan secara rasmi untuk kejohanan SUKMA Selangor pada tahun ini dan simboliknya adalah bertemakan kesukanan,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Terdahulu, Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026 tiba dari Sarawak selepas mengetuai delegasi Selangor membawa pulang obor SUKMA daripada tuan rumah edisi lalu.
Menurut Mohd Najwan, acara Larian Obor peringkat negeri adalah sebahagian daripada rangka kempen menyemarakkan promosi penganjuran kali kedua Selangor menjadi tuan rumah SUKMA, selepas 28 tahun iaitu pada 1998.
“Kita akan umumkan dalam masa dekat jadual larian obor nanti dan mengharapkan kerjasama serta sambutan daripada semua pihak khususnya PBT, pejabat Daerah dan institusi pengajian tinggi di seluruh Selangor untuk sama-sama terlibat dalam larian obor ini nanti.
“Ini merupakan satu momen bersejarah sebenarnya untuk Selangor. Kali terakhir kita menjadi tuan rumah Sukan Malaysia adalah pada 1998 iaitu kurang lebih 28 tahun lepas dan ini adalah kali kedua kita menjadi tuan rumah.
“Insya-Allah kita akan memastikan penganjuran temasya SUKMA 2026 ini akan menjadi salah satu yang terbaik dan diingati. Ada beberapa ruang penambahbaikan mungkin daripada yang penganjuran terdahulu dan kita akan memberikan layanan serta hospitaliti terbaik kepada semua negeri,” katanya.
Sejumlah 474 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan pada SUKMA Selangor 2026 yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA
SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan hampir 300 acara dari 5-14 September.
Sebanyak 52 lokasi penganjuran melibatkan sembilan daerah akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan yang membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.


