SHAH ALAM, 8 JAN: Kejohanan e-sukan, Selangor Future Cup menjadi medan penting bagi mencungkil bakat muda e-sukan di peringkat sekolah sekali gus membuka ruang pembangunan atlet baharu secara berperingkat.
Pengasas Bersama Selangor Red Giants (SRG) Simon Lim berkata peringkat saringan edisi kedua kejohanan sedang berlangsung melibatkan sembilan daerah di Selangor.
“Kali ini kita buat skala lebih besar. Edisi pertama dulu ada 64 kumpulan terlibat dari pelbagai selolah, jadi sekarang ini kita pergi ke peringkat daerah yang mana kita turun ke semua daerah.
“Buat masa ini tiga daerah yang selesai adalah Sepang, Hulu Langat dan Gombak dengan kira-kira 40 sekolah terlibat. Sabtu ini akan diteruskan di Petaling dengan kira-kira 20 sekolah terlibat.
“Peringkat akhir kita dijangka Februari yang mana johan bagi setiap peringkat daerah akan bertanding di venue e-sukan SUKMA 2026 iaitu MPAJ Convention Centre yang mana untuk merebut kejuaraan peringkat Selangor,” katanya kepada Media Selangor.
Tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning menjuarai Selangor Future Cup 2025 Kejohanan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) menewaskan SMK Saujana Utama, Kuala Selangor.
Pada Julai 2024, SRG turut mengharumkan nama negara selepas menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan mengatasi Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 di kejohanan Mid Season Cup MLBB di Riyadh, Arab Saudi.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyifatkan kemenangan pasukan SRG dalam kejohanan berkenaansebagai kejayaan luar biasa dan pencapaian bersejarah.


