SHAH ALAM, 8 JAN: Kontinjen e-sukan Selangor yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kini giat menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.
Ketua Kontinjen e-sukan Selangor SUKMA 2026, Simon Lim berkata, pasukan negeri dibarisi kira-kira 40 atlet bawah 21 tahun dan akan menyertai semua acara e-sukan yang dipertandingkan pada SUKMA 2026.
Menurut beliau, persiapan pasukan setakat ini berjalan lancar dengan barisan pemain, jurulatih serta kontrak atlet telah dimuktamadkan.
“Persediaan kita sangat baik. Pemain untuk semua kategori sudah ada, kontrak sudah ditandatangani dan jurulatih juga telah dilantik. Mereka sudah memulakan latihan,” katanya kepada Media Selangor.
Simon yang juga Pengasas Bersama Selangor Red Giants (SRG) berkata, kontinjen Selangor akan bersaing dalam beberapa acara termasuk e-Football, e-Sim Racing, Street Fighter, e-Chess, Mobile Legends dan Honor of Kings (HOK).
Mengulas sasaran pasukan, beliau secara peribadi yakin kontinjen e-sukan Selangor mampu meraih sehingga lapan pingat emas pada SUKMA 2026, melebihi sasaran tiga emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Majlis perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala majlis penutup berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Edisi kali ini melibatkan 474 acara dalam 37 jenis sukan, termasuk tujuh sukan tambahan seperti e-sukan, kriket dan silambam. Kesemua sembilan daerah serta 12 pihak berkuasa tempatan akan menjadi tuan rumah acara, kecuali sukan berbasikal trek yang diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta bagi menaik taraf fasiliti serta persiapan SUKMA, bagi memastikan penganjuran acara berjalan lancar dan pengalaman pengunjung lebih selesa.


