Prasarana catat rekod 1.63 juta penumpang sehari, prestasi pengangkutan awam terus meningkat

7 Jan 2026, 7:01 AM
Prasarana catat rekod 1.63 juta penumpang sehari, prestasi pengangkutan awam terus meningkat

PETALING JAYA, 7 JAN: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berjaya mencatatkan rekod jumlah perjalanan penumpang harian tertinggi dalam sejarah penubuhannya sebanyak 1.63 juta pada 31 Disember lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata purata jumlah perjalanan penumpang harian sepanjang 2025 turut meningkat sebanyak 11 peratus kepada 1.31 juta, daripada 1.18 juta pada tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, beberapa penambahbaikan telah dilakukan. Saya masih ingat, pada 2022, perkhidmatan Rapid dalam keadaan tidak memuaskan, banyak gangguan teknikal.

“Kita ambil tekad, terima kritikan dan berazam untuk tambah baik. Dalam tempoh tiga tahun ini, ada usaha bersungguh-sungguh daripada warga Prasarana untuk tambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan 2026 di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke melawat Hub Interaktif Mobiliti Prasarana sebelum sidang media dan sesi pembentangan laporan prestasi 2025 dan pelan 2026 di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana, Ara Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Loke mengakui perkhidmatan bas antara bandar tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun berikutan sistem menunggu yang agak lama.

Sehubungan itu, katanya, Prasana akan menambah baik perkhidmatan termasuk memperkenalkan 250 bas elektrik untuk fasa pertama, yang disasarkan pada Mac tahun ini.

“Kelemahan sistem bas kita adalag menunggu terlalu lama. Daripada segi bilangan penumpang memang agak menurun. Kita akan cuba tambah baik dan kecekapan operasi bas,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2026, Prasarana akan menerima 1,450 bas elektrik dan 300 van elektrik secara berfasa hingga 2030, ke arah capaian pengangkutan awam yang lebih moden dan mesra alam.

Selain itu, sebanyak 310 bas baharu juga akan diterima Prasarana menjelang Februari depan bagi menambah kekerapan perkhidmatan di kawasan tumpuan, selain 300 van di bawah program Demand Responsive Transit (DRT).