Polis terima 45 laporan, siasat kes pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya

7 Jan 2026, 4:26 AM
Polis terima 45 laporan, siasat kes pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya

SHAH ALAM, 7 JAN: Polis kini giat menyiasat isu pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas menerima 45 laporan berkaitan kes ini.

Laporan pertama dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 24 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya. Setakat ini, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) juga telah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan, namun identiti mereka tidak didedahkan.

Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung penipuan.

"Setakat ini sebanyak 45 laporan diterima JSJK. Kita juga sudah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini menjelaskan tindakan membuat laporan polis dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka Disember lalu.

Beliau dilaporkan berkata FAM komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

"Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara," katanya.