MB beri perhatian serius isu pencemaran Rizab Sungai Buloh

10 Feb 2026, 12:02 PM
MB beri perhatian serius isu pencemaran Rizab Sungai Buloh

SHAH ALAM: Isu pencemaran dan lambakan sampah di kawasan Rizab Sungai Buloh kini diberi perhatian serius susulan aduan dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Jefri Mejan kepada Dato’ Menteri Besar.

Jefri memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan secara langsung dengan Dato' Seri Amirudin Shari berhubung masalah berkenaan, yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, perbincangan tersebut menerima respons yang baik dan positif, sekali gus memberi harapan agar tindakan susulan dapat dilaksanakan di peringkat lapangan oleh agensi berkaitan.

“Alhamdulillah, ada sinar di hujung terowong. Isu sampah di Rizab Sungai Buloh akhirnya diberi perhatian serius.

"Respons yang diterima daripada Dato'Menteri Besar amat baik dan positif. Terima kasih di atas keprihatinannya," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, rakyat kini menantikan tindakan sebenar di lapangan bagi memastikan kawasan rizab sungai dipelihara serta tidak terus terdedah kepada pencemaran yang menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Rakyat menunggu tindakan sebenar di lapangan dan agensi berkaitan diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan tegas demi menjaga rizab sungai, alam sekitar dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Isu pencemaran Rizab Sungai Buloh dibangkitkan Jefri pada 5 Februari lalu apabila beliau menegaskan kawasan itu bukan tapak pelupusan atau tambakan, sebaliknya berfungsi sebagai kawasan takungan semula jadi bagi mengawal banjir.

Beliau berkata aktiviti pembuangan sampah dan tambakan yang menjejaskan fungsi sungai dipercayai masih berlaku, termasuk kewujudan tapak sampah haram berdasarkan penemuan sampah baharu dan aktiviti di lapangan.

Jefri turut memaklumkan pembuangan minyak hitam dikesan di kawasan berkenaan, yang berpotensi mencemarkan Sungai Buloh dan menjejaskan ekosistem, sekali gus mendorong gesaan tindakan segera bagi mengembalikan fungsi asal rizab sungai.