SHAH ALAM, 6 DIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyita sebanyak 10,112 peralatan komunikasi yang tidak diperakui dan gagal mematuhi piawaian teknikal dalam satu operasi penguatkuasaan besar-besaran di sekitar Klang dan Petaling Jaya, baru-baru ini.
Ops Optik itu dilaksanakan hasil risikan serta kerjasama strategik antara SKMM dan SIRIM, membabitkan seramai 69 pegawai dan mengambil masa selama 19 jam yang bermula jam 12 tengah hari hingga 4 pagi.
"Sebanyak 10,112 peralatan disyaki tidak diperakui disita dengan anggaran nilai RM1 juta. Antara peralatan yang disita termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar dan beberapa peralatan sokongan operasi premis termasuk komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi.
“SKMM turut mendapati aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan berkenaan dijalankan melalui pelbagai platform e-dagang dan media sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.
SKMM memaklumkan seramai 40 individu sudah diambil keterangan awal, manakala sembilan Notis Kehadiran telah dikeluarkan kepada individu termasuk pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan bagi menghadiri sesi rakaman percakapan di ibu pejabat SKMM, Cyberjaya.
"Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui berisiko menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal, selain boleh mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan dan mengancam integriti pasaran tempatan.
"Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
SKMM menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan dipertingkat dari semasa ke semasa bagi mengekang penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna.


