SHAH ALAM, 6 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyita motosikal yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan dalam satu operasi di Plaza Tol Bukit Raja, Klang.
JPJ Selangor menerusi kenyataan memaklumkan antara kesalahan utama yang diekesan termasuk tayar motosikal dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi JPJ.
"Notis dikeluarkan ke atas motosikal yang disita kerana didapati tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans dan tiada cermin pembalik serta mengubah suai ekzos.
"JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan," katanya menerusi Facebook.
JPJ Selangor menegaskan pihaknya akan terus memastikan pematuhan undang-undang jalan raya melalui pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan pengguna serta integriti sistem pengangkutan awam.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya melalui saluran rasmi termasuk e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-aduan.


