SHAH ALAM, 6 JAN: Taktik menyimpan dadah dalam kenderaan untuk tujuan pengedaran terbongkar selepas sebuah Perodua Bezza yang diparkir di kawasan pangsapuri di Taman Desa Petaling diserbu dalam satu operasi baru-baru ini.
Serbuan kira-kira jam 3 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menemui bungkusan dalam dua beg runcit berisi bahan berbentuk kristal disyaki syabu yang disimpan di tempat duduk belakang.
"Dadah disyaki syabu seberat 11.031 kilogram (kg) bernilai RM352,992 itu dipercayai untuk pasaran tempatan.
"Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga pemilik kenderaan ditahan untuk membantu siasatan, manakala kereta itu turut disita," katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kuala Lumpur seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan suspek atau mengesan sama ada Perodua Bezza itu disewakan kepada individu lain.
Tambahnya, dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara luar sebelum diedarkan secara kecil-kecilan di pasaran tempatan.
"Taktik menyimpan dadah dalam kenderaan di parkir awam itu bagi mengelakkan kecurigaan penduduk setempat," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


