13 kenderaan import bernilai RM4.61 juta disita di Lembah Klang

16 Mac 2026, 4:12 AM
13 kenderaan import bernilai RM4.61 juta disita di Lembah Klang

PETALING JAYA, 16 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menyita 13 kenderaan import pelbagai jenis bernilai kira-kira RM4.61 juta termasuk duti dan cukai yang disimpan melebihi tempoh dibenarkan di gudang berlesen sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Pengarahnya Wan Norizan Wan Daud berkata sitaan dibuat hasil beberapa siri serbuan dari 5 Januari hingga 6 Februari menerusi Ops Terma dengan kerjasama Bahagian Perkastaman JKDM.

Beliau berkata pemeriksaan rapi mendapati kenderaan import tersebut disimpan melebihi tempoh penyimpanan dibenarkan, iaitu 48 bulan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967.

“Nilai kenderaan yang disita dianggarkan berjumlah RM1.7 juta manakala anggaran duti dan cukai import terlibat sebanyak RM2.8 juta.

“Dua pengarah syarikat terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan dan kes masih dalam siasatan bagi mengesan syarikat atau ejen pengimport untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Kompleks JKDM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Wan Norizan berkata kes disiasat mengikut Akta Kastam termasuk kesalahan menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) akta itu.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 mana lebih besar dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000 mana lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.