SHAH ALAM, 5 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) bertindak pantas mengerahkan pasukan pembersihan ke kawasan Good Year Court 3, 4, 5, 6, 8 dan 10 di Subang Jaya susulan isu lambakan sampah domestik yang berlarutan sejak bulan lalu.
Tindakan segera itu diambil selepas isu kutipan sampah berkenaan diketengahkan di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Sampah di tong pembuangan dilaporkan melimpah ke bahu jalan dan kawasan awam tanpa kepastian jadual kutipan, sehingga menjejaskan kebersihan persekitaran.
Berdasarkan maklumat di lapangan, pasukan KDEBWM lengkap dengan lori dan kenderaan pemadat sampah telah digerakkan, dengan kerja pembersihan masih diteruskan sehingga malam tadi bagi menghapuskan baki lambakan sampah.
Sebelum ini, penduduk memaklumkan sisa buangan isi rumah terdedah kepada panas dan hujan, mengundang kehadiran haiwan liar serta serangga, selain menimbulkan bau busuk.

Penduduk turut mendakwa tidak melihat kehadiran lori pemadat sampah di kawasan berkenaan selama beberapa hari, malah ada yang memaklumkan kutipan terakhir dilakukan sebelum hujung bulan lalu.
“Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku.
“Tong sampah sudah penuh, sampah bertaburan dan tiada siapa datang mengutipnya,” kata seorang penduduk.
Keadaan itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap risiko kesihatan, khususnya kepada kanak-kanak dan warga emas yang tinggal berhampiran lokasi tong sampah.
Susulan tindakan pantas tersebut, KDEBWM memaklumkan pihaknya telah mengemas kini situasi di lapangan serta memberi jaminan bahawa kerja pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memulihkan kebersihan kawasan terlibat.


