SHAH ALAM, 5 JAN: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 sehingga RM500 akan mula dikreditkan kepada penerima yang layak bermula 20 Januari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bayaran sehingga RM200 sebulan akan dikreditkan seawal 9 Januari ini.
“Pelaksanaan bayaran SARA RM100 tahun lalu mencatatkan kadar penggunaan yang tinggi apabila 96 peratus daripada peruntukan, mencecah RM2.1 bilion, telah dibelanjakan oleh rakyat bagi keperluan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Putrajaya, hari ini.
Pada Julai lalu, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan bantuan penghargaan SARA RM100 disalurkan kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas menerusi MyKad.
Kredit RM100 itu sah digunakan hingga 31 Disember lepas untuk pembelian barangan asas di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Peruntukan keseluruhan bagi program STR dan SARA tahun lepas mencecah RM15 bilion, nilai tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.


