SHAH ALAM, 5 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah menjalankan siasatan dalaman segera berhubung dakwaan tular berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam sebuah kem tentera.
Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata siasatan itu bertujuan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
"Dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
"Kementerian memandang serius dakwaan ini. Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Mindef dan ATM.
"Mindef dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara," katanya.
Sejak semalam, tular di media sosial mendakwa terdapat aktiviti tidak bermoral berlaku di kem-kem askar melibatkan individu luar dan pegawai tentera.


