MINDEF pantau gaya hidup pegawai cegah salah guna kuasa

9 Mac 2026, 7:48 AM
MINDEF pantau gaya hidup pegawai cegah salah guna kuasa

SHAH ALAM, 9 MAC: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memantau gaya hidup pegawai dan anggotanya sebagai antara langkah bagi mengesan serta mencegah penyalahgunaan kuasa.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari bagaimanapun menegaskan siasatan terhadap individu tertentu tidak seharusnya dilihat sebagai gambaran keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Angkatan Tentera kekal sebagai sebuah institusi profesional dan berdisiplin,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Hatta Md Ramli mengenai usaha memperkukuh mekanisme audit dalaman dalam MINDEF dan ATM bagi memantau gaya hidup pegawai serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Perkara itu dibangkitkan susulan skandal rasuah yang melibatkan beberapa pegawai kanan ATM berkaitan dakwaan penyelewengan dana serta ketidakaturan dalam tender perolehan ketenteraan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyita dan membekukan wang tunai, emas, barangan mewah serta dana bernilai jutaan ringgit daripada lebih 80 akaun bank dalam dua kes berasingan yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah kontrak perolehan tentera.

Bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya antara yang telah ditahan setakat ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata MINDEF terus memperkukuh tadbir urus melalui audit berkala, penguatkuasaan disiplin serta kerjasama dengan agensi pemantau seperti SPRM.

Beliau berkata unit integriti dalaman turut meneliti aduan serta memantau beberapa aspek termasuk pengisytiharan aset dan gaya hidup pegawai.

“Audit melihat keseluruhan sistem, tetapi unit integriti kami juga menyemak aduan. Kami meneliti semua faktor, bukan hanya pengisytiharan aset tetapi juga gaya hidup kerana penyalahgunaan kuasa boleh berlaku dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Pegawai juga diwajibkan membuat pengisytiharan aset setiap tahun selain dinilai dari segi kecekapan serta tingkah laku beretika bagi mengelakkan penyalahgunaan kedudukan.

“Sistem kita perlu diperkukuh bagi memastikan tiada individu menyalahgunakan kedudukan mereka, di samping memastikan nilai dan etika diterapkan dalam kalangan semua anggota,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.