Ops Luxury: 22 kenderaan mewah disita, alasan ‘terlupa’ paling popular

4 Jan 2026, 5:29 AM
Ops Luxury: 22 kenderaan mewah disita, alasan ‘terlupa’ paling popular
Ops Luxury: 22 kenderaan mewah disita, alasan ‘terlupa’ paling popular

SHAH ALAM, 4 JAN: Alasan terlupa, jarang digunakan serta masalah kewangan antara punca 22 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu kerana gagal memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan perlindungan insurans sepanjang pelaksanaan Ops Luxury tahun lalu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion, berkata operasi yang bermula Julai tahun lalu itu mengakibatkan kerajaan dianggarkan mengalami ketirisan hasil cukai jalan berjumlah kira-kira RM36,000.

Beliau memaklumkan ketirisan tertinggi melibatkan sebuah Lamborghini Aventador berkuasa 6,498cc dengan tunggakan LKM RM17,871, diikuti Nissan Fairlady 3,498cc dengan tunggakan RM4,371.

“Antara alasan yang sering diberikan ialah kenderaan jarang digunakan, terlupa serta masalah kewangan, namun JPJ tidak berkompromi dengan alasan sedemikian,” katanya ketika ditemui di Depoh Sitaan JPJ di sini, semalam, lapor Harian Metro.

Zamri berkata alasan terlupa merupakan yang paling kerap dikemukakan, namun ia tidak boleh diterima memandangkan urusan pembaharuan LKM dan insurans kini lebih mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian.

Menurutnya, JPJ akan terus mengambil tindakan tegas termasuk sitaan serta-merta terhadap kenderaan yang didapati menggunakan LKM tamat tempoh tanpa mengira status pemilik, berbanding hanya mengeluarkan saman seperti sebelum ini.

“Pemilik kenderaan yang disita perlu menjelaskan semua tunggakan cukai jalan sebelum kenderaan dibenarkan dituntut semula,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kegagalan memperbaharui LKM dan insurans bukan sahaja memberi risiko kepada pemilik kenderaan, malah boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan.

Dalam operasi sama, pelbagai kesalahan lain turut dikesan termasuk tiada LKM, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh serta memandu tanpa lesen sah.

JPJ Terengganu juga menahan sebuah kenderaan mewah jenis Mercedes-Benz yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu selain mempunyai cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif penggunaan nombor pendaftaran palsu berkenaan,” katanya.