SHAH ALAM, 3 JAN : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memulakan siasatan terhadap pengguna laman sosial X yang disyaki menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memanipulasi imej wanita dan kanak-kanak.
SKMM menerusi kenyataan memaklumkan, penyalahgunaan itu melibatkan penghasilan dan penyebaran kandungan tidak senonoh, jelik melampau serta memudaratkan sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dalam talian.
Menurutnya, perbuatan menghasil atau menyebarkan kandungan sedemikian merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) yang melarang penggunaan perkhidmatan rangkaian bagi menghantar kandungan lucah, sumbang atau menjijikkan.
“SKMM memandang serius aduan orang awam berhubung penyalahgunaan AI, khususnya manipulasi imej wanita dan kanak-kanak yang boleh membawa kepada kemudaratan fizikal dan psikologi.
“Sehubungan itu, SKMM akan menyiasat akaun pengguna platform X yang disyaki melanggar peruntukan AKM dan tidak menolak kemungkinan tindakan penguatkuasaan bakal diambil,” katanya.
Jelas SKMM, dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), semua platform dalam talian dan penyedia perkhidmatan berlesen diwajib mengambil langkah proaktif bagi mencegah penyebaran kandungan memudaratkan termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Katanya, meski platform X bukan penyedia perkhidmatan berlesen di Malaysia buat masa ini, ia masih tertakluk kepada piawaian keselamatan dalam talian tempatan dan bertanggungjawab memastikan kandungan berbahaya tidak disebarkan.
Dalam pada itu, SKMM menggesa semua platform digital yang boleh diakses di Malaysia supaya memperkukuh mekanisme perlindungan, khususnya melibatkan fungsi AI, chatbot serta aplikasi manipulasi imej.
“SKMM sedang meneliti tahap kemudaratan kandungan yang berlaku di platform X dan akan memanggil wakil platform berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.
“Pengguna Internet dan mangsa turut dinasihatkan segera melaporkan kandungan memudaratkan kepada platform berkaitan serta membuat laporan kepada polis termasuk portal aduan dalam talian SKMM,” katanya.



