AMPANG JAYA, 3 JAN: Penyediaan platform dan tapak niaga di acara berskala besar seperti festival, karnival dan sambutan tahunan dilihat mampu membantu peniaga kecil meningkatkan pendapatan, mempromosikan jenama serta mengembangkan perniagaan secara lebih tersusun dan sah.
Tinjauan Media Selangor mendapati peniaga yang diberi peluang berniaga di lokasi tumpuan orang ramai bukan sahaja memperoleh pulangan lebih tinggi, malah dapat menilai penerimaan pelanggan terhadap produk ditawarkan.
Peniaga minuman, Mohd Razman Hussin, 24, berkata pengalaman pertama berniaga sendiri di acara besar memberi impak positif kepada perniagaannya yang bermula Jun lalu.
“Pendapatan lebih tinggi dan orang lebih tertarik untuk datang. Ia juga membantu promosi jenama produk sendiri serta meluaskan perniagaan,” katanya ketika ditemui.

Beliau merupakan salah seorang peniaga ketika Majlis Sambutan Tahun Baharu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di pusat beli-belah Spectrum baru-baru ini.
Pelajar, Hani Mohd Hanif, 21, yang berniaga secara sambilan sejak bulan lalu berkata platform sebegitu membolehkannya mendapatkan maklum balas pelanggan secara langsung terhadap jualan pemanis yang diusahakannya seperti puding pisang, kek batik dan lempeng kelapa.
Namun, beliau berharap lebih banyak ruang diberikan oleh pihak penganjur dengan penyediaan kemudahan asas seperti khemah di tapak niaga bagi memastikan keselesaan peniaga dan pengunjung.

“Sebelum ini, saya berniaga secara atas talian, acara skala besar seperti ini lebih baik kerana boleh tahu keperluan dan citarasa pelanggan, sekali gus menambah baik produk yang ditawarkan,” kongsi penuntut Universiti Tun Abdul Razak itu.
Bagi S Povanaswary, 54, peniaga kuih puri berkongsi peluang berniaga ketika sambutan baharu itu memberi pengalaman berharga kepadanya sejak memulakan perniagaan tahun lalu.
“Saya gembira kerana diberi peluang berniaga di tapak besar seperti ini dan dapat belajar daripada peniaga lain.
“Saya harap lebih banyak peluang sebegini diberikan kepada peniaga kecil untuk mencari rezeki,” katanya lagi.

Mac ini Kerajaan Negeri akan menganjurkan Selangor HAVOC Raya Fest 2026, sebuah festival raya berskala mega yang berlangsung selama 96 jam tanpa henti.
Festival itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia City Setia Alam bermula 12 hingga 16 Mac 2026, dengan sasaran 1.5 juta pengunjung.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata edisi 2025 berjaya menarik 1.2 juta pengunjung dengan nilai transaksi mencecah RM10 juta, sekali gus membuktikan potensi besar festival itu sebagai pemacu ekonomi rakyat.






