Pemuda bawah umur pandu lori, bawa muatan lebih ditahan

2 Jan 2026, 7:26 AM
Pemuda bawah umur pandu lori, bawa muatan lebih ditahan

SHAH ALAM, 2 JAN: Tindakan lelaki berusia bawah 21 tahun memandu lori barangan mengundang padah apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhampiran Kilometer (KM) 18 Lebuhraya Guthrie menghala ke Shah Alam, kelmarin.

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata pemandu terbabit ditahan anggota penguat kuasa Stesen Penguatkuasa (SPK) Elmina ketika pemeriksaan rutin dijalankan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati pemuda berkenaan melakukan beberapa kesalahan, antaranya memandu kenderaan berat walaupun belum mencapai had umur ditetapkan selain lori dipandu membawa muatan melebihi had dibenarkan.

“Ketika pemeriksaan, lelaki itu memaklumkan dia memandu lori tersebut atas arahan penyelianya berikutan ketiadaan pemandu.

“Dia juga mengaku baharu sahaja mengendalikan lori berkenaan kerana sebelum ini hanya bekerja sebagai kelindan,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor Harian Metro.

Azrin berkata lori terbabit dalam perjalanan menghantar barangan ke Shah Alam ketika ditahan.

Susulan itu, beliau berkata lori berkenaan disita dan ditempatkan di SPK Elmina untuk tindakan lanjut.