Wujudkan lebih banyak peluang kerja untuk wanita

4 Jan 2026, 3:10 AM
Wujudkan lebih banyak peluang kerja untuk wanita

SHAH ALAM, 4 JAN: Lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan untuk kaum Hawa sepanjang tahun ini sekali gus membantu memajukan kelompok berkenaan, kata EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari.

Katanya, beberapa inisiatif dirangka supaya golongan wanita berpeluang kembali bekerja antaranya Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Wanita Selangor.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (kiri) salah seorang panel forum “Investing in the Future of Care” pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 sempena Selangor International Business Summit 2025 (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau memberitahu usaha juga dijalankan untuk membantu mereka yang bergiat dalam bidang perniagaan melalui program Usahanita Digital.

“Fokus kita pada 2026 adalah memperkukuh, melebar bantuan kebajikan dalam bentuk pemerkasaan wanita dengan beri peluang kerja. Juga teroka kajian gender dan kecerdasan buatan (AI).

“Pada masa sama, tidak meninggalkan bantuan seperti melatih orang ramai dalam penjagaan anak-anak kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau juga berbangga ekoran Kerajaan Selangor mencatat pelbagai pencapaian sepanjang 2025, khususnya memperkukuh agenda ekonomi penjagaan menerusi pelaksanaan program berdampak tinggi.

Katanya, kejayaan utama antaranya penganjuran Sidang Kemuncak Ekonomi Penjagaan Selangor, program julung kali yang menghimpunkan pemain industri penjagaan dari dalam dan luar negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfal Saari bergambar pada pelancaran Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor di Dewan Negeri Selangor pada 27 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut beliau, beberapa perjanjian persefahaman dimeterai dengan pelbagai pihak termasuk sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan badan antarabangsa dalam sidang berkenaan.

Dalam pada itu, Anfaal menyifatkan penstrukturan semula Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) sebagai pencapaian besar apabila ia kini beroperasi sebagai entiti tersendiri.

“Insya-Allah, kita akan terus meneroka peluang baharu bagi meluaskan bantuan kepada rakyat, khususnya di Selangor, supaya manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh,” katanya.

Apa reaksi anda?