SHAH ALAM, 1 JAN: Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa hari ini menjadi langkah penting negara dalam memperkukuh keselamatan digital serta melindungi pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga daripada kemudaratan dalam talian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan ONSA menetapkan tanggungjawab jelas kepada pemberi perkhidmatan berlesen bagi mengurus risiko dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap ancaman, perlindungan khusus kepada kanak-kanak serta penyediaan mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.
Menurut SKMM, akta itu terpakai kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), namun tidak melibatkan pengguna individu.
“ONSA juga berjalan seiring dengan peruntukan ‘deeming’ Seksyen 46A AKM 1998 yang turut berkuat kuasa hari ini, menjadikan platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kerangka kawal selia sedia ada serta undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan itu.
SKMM menjelaskan pendekatan tersebut adalah sebahagian daripada kawal selia berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar beroperasi secara bertanggungjawab, telus dan berakauntabiliti di Malaysia.
Dalam masa sama, SKMM menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa, pendidik, agensi penguatkuasaan, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti bagi mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Maklumat lanjut berkaitan ONSA boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi SKMM mcmc.gov.my




