Jenayah rentas sempadan, Briged Tengah PGA catat rampasan RM1.1 bilion tahun ini

31 Dis 2025, 2:46 PM
Jenayah rentas sempadan, Briged Tengah PGA catat rampasan RM1.1 bilion tahun ini

SHAH ALAM, 31 DIS: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatat kejayaan besar sepanjang 2025 dengan melaksanakan 538 serbuan dan merampas bernilai RM1.1 bilion.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata pihaknya melaksanakan pelbagai pendekatan strategik bagi membanteras penyeludupan dan jenayah terancang, khususnya di kawasan sempadan perairan Pantai Selangor dan Pantai Barat Johor.

"Beberapa operasi digerakkan termasuk Op Taring Nyah 1 bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), Op Kontraban untuk membanteras penyeludupan barangan tanpa cukai, Op Bersepadu Khazanah melibatkan kesalahan berkaitan hidupan liar dan khazanah negara serta Op Hazard bagi menangani jenayah berkaitan alam sekitar.

"Kesemua operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain di peringkat inter dan intra agensi, selaras dengan pendekatan holistik dalam menangani jenayah rentas sempadan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 538 serbuan dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah yang meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Hasilnya seramai 1,649 individu berjaya ditangkap dengan pelbagai jenis rampasan membabitkan nilai keseluruhan RM1.1 bilion.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hakemal menyeru kerjasama orang awam agar terus menyalurkan maklumat dan berperanan sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui PGA akan terus menjalankan tugas menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh dedikasi, profesionalisme serta berintegriti demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia," katanya.