Mahkamah: Lelaki cuba beli emas guna wang palsu direman empat hari

30 Dis 2025, 6:08 AM
Mahkamah: Lelaki cuba beli emas guna wang palsu direman empat hari

SHAH ALAM, 30 DIS: Seorang lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, bagi membantu siasatan kejadian cubaan membeli barang kemas menggunakan wang palsu pada 18 Disember lalu.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menetapkan tempoh reman itu bermula hari ini hingga Jumaat ini terhadap lelaki berusia 33 tahun berkenaan, lapor Berita Harian.

Terdahulu pada 19 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima laporan seorang jurujual lelaki berusia 36 tahun di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 6.31 petang berhubung suspek yang datang ke sebuah kedai emas di Chabang Tiga, untuk membeli barang kemas bernilai RM30,000.

Suspek yang berkopiah putih, bercermin mata hitam dan menggunakan pelitup muka merah jambu dikatakan mahu membayar barang kemas itu dengan meletakkan duit diikat secara 'bundle' dalam sebuah plastik berwarna kuning, namun mangsa mendapati wang itu agak pelik kerana bentuk tepinya berwarna putih.

Media pada 27 Disember lalu melaporkan suspek yang melarikan diri dalam kejadian pada 19 Disember itu ditahan polis selepas cubaannya melarikan seutas rantai emas bernilai kira-kira RM30,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas dekat Paka.