Murid sekolah tidak wajib pakai tali leher mulai 2026

30 Dis 2025, 12:17 AM
Murid sekolah tidak wajib pakai tali leher mulai 2026

SHAH ALAM, 30 DIS: Murid sekolah di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak diwajibkan memakai tali leher mulai tahun depan.

Pemakluman itu terkandung dalam surat siaran bertarikh 17 Disember lalu yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad. Keputusan dicapai hasil Mesyuarat Profesional KPM Khas 2025 yang berlangsung pada 8 Disember lalu.

Bagaimanapun, KPM memaklumkan pemakaian tali leher masih dibenarkan berdasarkan keputusan permuafakatan pihak sekolah dengan ibu bapa.

KPM juga menegaskan tiada pihak dibenarkan membuat sebarang paksaan atau tekanan terhadap murid berkaitan pemakaian tali leher.

"KPM sentiasa prihatin akan keperluan bagi ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing sebelum bermula sesi persekolahan baharu.

"Bagi memudahkan ibu bapa dalam memenuhi keperluan tersebut, dasar ini diputuskan hasil penelitian terhadap keperluan semasa murid berdasarkan faktor seperti yang berikut,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman web KPM.

Jelas KPM, antara faktor utama yang dipertimbangkan termasuk keadaan iklim tempatan yang panas dan lembap, yang didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher secara harian serta boleh menjejaskan keselesaan murid.

Selain itu, langkah berkenaan juga selari dengan usaha KPM untuk mengurangkan tekanan kewangan yang ditanggung oleh isi rumah, khususnya dalam penyediaan kelengkapan persekolahan.