SHAH ALAM, 29 DIS: Pertikaian berkaitan isu nafkah dipercayai menjadi punca seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun cedera selepas ditolak bapanya sendiri dalam kejadian di Taman Scientex Kundang Jaya, Kundang.
Insiden itu mencetuskan perhatian ramai selepas video kejadian tular di media sosial, sebelum pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.33 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 11.47 malam kelmarin.
Menurut beliau, insiden itu berlaku ketika suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun menghantar anaknya ke rumah bekas isteri.
“Insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu nafkah, sebelum suspek bertindak agresif terhadap bekas isterinya sehingga wanita itu cedera.
“Suspek turut menolak anak perempuannya berusia tujuh tahun sehingga kanak-kanak itu terjatuh serta mengalami kecederaan di bahagian lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian tersebut, beliau berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dengan kes kini di peringkat siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan polis.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Amirul Mohd Sharit di talian 016-6740989 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.


