SHAH ALAM, 29 DIS: Persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor kini mencapai 85 peratus, dengan pendaftaran rasmi kontinjen dijadualkan dibuka bermula bulan depan.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata tahap kesiapsiagaan itu melibatkan persediaan venue pertandingan, sistem pengurusan kejohanan serta penyediaan peralatan utama bagi memastikan penganjuran temasya sukan dwitahunan itu berjalan lancar dan teratur.
Menurut beliau, Game Management System (GMS) akan digunakan sepenuhnya sebagai sistem pengurusan rasmi SUKMA 2026, merangkumi pendaftaran atlet, pengesahan kontinjen serta penyelarasan acara pertandingan.
“Pendaftaran rasmi kontinjen dijadualkan dibuka bermula 2 Januari hingga 13 Februari depan. Melalui sistem GMS, setiap kontinjen akan dibantu bagi menyenaraikan atlet dan pegawai pasukan secara lebih sistematik, selain memudahkan proses pengesahan penyertaan.
“SUKMA 2026 dijangka mempertandingkan sebanyak 474 acara, merangkumi 327 acara sukan melibatkan pelbagai disiplin,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Selangor Havoc Raya Fest 2026 di sini, hari ini.
Bagi memastikan penyertaan menyeluruh, Mohd Najwan berkata jelajah rasmi ke negeri-negeri akan dilaksanakan bermula minggu hadapan sebagai sebahagian tradisi penganjuran SUKMA.
“Jelajah ini melibatkan kunjungan ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, selain penghantaran surat jemputan rasmi kepada negara Brunei bagi penyertaan kontinjen,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan dari segi prasarana, beberapa venue utama sedang menjalani kerja naik taraf secara besar-besaran termasuk pusat akuatik dan lapang sasar menembak, manakala venue lain berada pada tahap siap sedia untuk digunakan.
“Setakat ini, kerja-kerja naik taraf utama berjalan mengikut jadual yang ditetapkan. Bagi aspek logistik dan teknikal, sekitar 70 peratus peralatan pertandingan telah disediakan.
"Manakala baki peralatan pula masih dalam proses perolehan serta perbincangan bersama pembekal berkaitan bagi memastikan ia memenuhi spesifikasi teknikal kejohanan," katanya.
Tambah Mohd Najwan, portal rasmi SUKMA 2026 akan dilancarkan bulan depan sebagai pusat rujukan utama melibatkan maklumat kejohanan, pengurusan teknikal, pendaftaran serta hebahan rasmi kepada semua kontinjen dan orang ramai.



