Ribut petir, hujan lebat di beberapa kawasan di Selangor hingga 9 malam

29 Dis 2025, 11:30 AM
Ribut petir, hujan lebat di beberapa kawasan di Selangor hingga 9 malam

SHAH ALAM, 29 DIS: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Kuala Langat sehingga 9 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan keadaan sama turut diramal berlaku di beberapa negeri lain termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, serta kawasan di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Di Kedah, kawasan terjejas melibatkan Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pulau Pinang membabitkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Bagi Perak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak, manakala di Pahang melibatkan Maran dan Bera.

Di Negeri Sembilan, kawasan Jempol dijangka terkesan, sementara di Johor melibatkan Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca buruk di beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kuching (Lundu), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah, Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu, Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) serta Limbang.

Di Sabah, antara kawasan terlibat ialah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna), Sandakan (Telupid dan Beluran) serta Kudat (Kota Marudu dan Pitas).

Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku lebih sejam.

Amaran itu merupakan amaran jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada, mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa memantau maklumat cuaca terkini daripada agensi ini.