KUALA TERENGGANU, 28 DIS: Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih selepas tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir yang dibuka pada 26 Dis ditutup pada 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di sini dan SK Tok Jembal serta SK Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus.
JPBN memaklumkan cuaca cerah di kebanyakan kawasan hari ini membolehkan penduduk membersihkan rumah sebelum pulang ke kediaman masing-masing.
JPBN memaklumkan bahawa mereka masih dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir.
Banjir gelombang ketiga melanda Terengganu pada Jumaat lepas ekoran hujan lebat berterusan yang menyebabkan hampir 500 penduduk di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Dungun dipindahkan ke empat PPS.
Banjir di Terengganu bermula pada 22 Nov melibatkan lebih 10,000 mangsa dipindahkan ke lebih 500 PPS di lapan daerah, sebelum bencana itu pulih pada 2 Dis manakala gelombang kedua melanda enam daerah dari 14 hingga 21 Dis.


