Banjir kembali landa Terengganu, 103 mangsa dipindahkan

26 Dis 2025, 2:30 PM
Banjir kembali landa Terengganu, 103 mangsa dipindahkan

SHAH ALAM, 26 DIS: Terengganu yang baru pulih daripada banjir gelombang kedua minggu lalu kembali dilanda banjir hari ini, melibatkan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.

Setakat ini, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 103 mangsa daripada 24 keluarga yang terjejas akibat bencana tersebut, lapor Kosmo!

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 61 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering.

“Seramai 29 mangsa daripada lapan keluarga kini berlindung di PPS SK Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus.

“Manakala Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan di Dungun menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga,” katanya.

Menurut beliau, pemantauan berterusan sedang dilakukan berikutan episod hujan lebat dijangka berterusan sehingga Isnin ini, sekali gus berpotensi menyebabkan pertambahan mangsa banjir.