Bekalan daging negara dijamin cukup menjelang Ramadan, Aidilfitri 2026

28 Dis 2025, 7:58 AM
Bekalan daging negara dijamin cukup menjelang Ramadan, Aidilfitri 2026

SHAH ALAM, 28 DIS: Para penternak tempatan telah mula membuat persiapan bekalan daging bagi menghadapi Ramadan serta sambutan Aidilfitri tahun hadapan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menerusi hantaran Facebook hari ini, beliau memaklumkan bekalan daging negara sepanjang tiga tahun kebelakangan ini sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat, termasuk ketika permintaan meningkat pada musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha.

Mohamad berkata umat Islam dijangka menyambut Ramadan pada Februari manakala Aidilfitri pada penghujung Mac 2026.

“Persiapan bekalan daging sudah pun dimulakan oleh penternak tempatan dan dengan perancangan awal, kerjasama penternak serta sokongan dasar yang betul, bekalan daging untuk rakyat tahun hadapan akan terus terjamin,” katanya.