GOMBAK, 28 DIS: Kerajaan Negeri komited menaik taraf kemudahan balai raya sekali gus menyediakan kemudahan selesa dan selamat untuk aktiviti penduduk setempat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata komitmen itu dibuktikan menerusi usaha menaik taraf balai raya di Kampung Laksamana, di sini, selepas pusat aktiviti komuniti itu beroperasi lebih 10 tahun.
“Balai Raya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Laksamana selesai dinaik taraf. Ia bertujuan menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan penduduk setempat.
“Balai raya ini merupakan antara kemudahan awam penting dan wajar dinaik taraf selepas beroperasi lebih 10 tahun demi menjamin keselesaan semua pihak.
“Projek ini juga dilaksanakan di bawah Inisiatif Kemudahan Awam (ICU) Parlimen Gombak,” katanya selepas merasmikan Balai Raya JPKK Kampung Laksamana, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin turut memberi jaminan pentadbiran negeri memberi perhatian serius terhadap isu banjir yang sering melanda di kampung berkenaan.
Sementara itu, Ketua Kampung Laksamana, Roszaidi Ishak menjelaskan balai raya tersebut menjadi pusat aktiviti penting yang menghimpunkan masyarakat dari pelbagai kaum dan peringkat umur.
“Balai raya ini besar fungsinya kepada masyarakat di sini. Macam-macam aktiviti digerakkan. Contohnya balai raya ini digunakan sebagai lokasi mesyuarat pada setiap Selasa. Ia juga menjadi pusat aktiviti komuniti termasuk latihan kompang pada Jumaat dan Ahad,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata lawatan Dato’ Menteri Besar turut memberi peluang kepada pihak kampung untuk membangkitkan isu banjir yang sering berlaku dan memberi kesan besar kepada penduduk setempat.
“Dato’ Menteri Besar menunjukkan keprihatinan beliau dengan memberi jaminan bahawa isu banjir tersebut akan diselesaikan menerusi pembetulan aliran air di longkang supaya terus mengalir ke sungai,” katanya.
Pada 28 November lepas, Facebook Pusat Khidmat Rakyat N16 DUN Sungai Tua memaklumkan kerja menaik taraf saliran jalan Kampung Laksamana 10, telah mula dilaksanakan.
Kerja menaik taraf itu melibatkan pemasangan struktur konkrit bertulang 900mm, 1200mm dan 1500mm bagi meningkatkan kapasiti aliran air terus ke sungai. Projek ini dijangka menyelesaikan masalah banjir yang menjejaskan lebih 100 rumah di Jalan Laksamana 10, 10/2 dan 10/3.




